Main menu:
Academy
Pahlawan Muay Thai dari Tambun
http://www.kosmo.com.my
28/12/2008
BERNAD telah meraih banyak pengiktirafan dalam kejohanan Muay Thai di peringkat antarabangsa.
DENGAN kejayaan menjuarai Kejohanan Muay Thai Piala Raja Thailand baru-baru ini, Bernad Radin membuktikan atlet tempatan berupaya menguasai seni pertahanan diri itu untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Anak kelahiran suku kaum Iban, Sarawak ini yang turut dikenali sebagai The Head Hunter merupakan antara jurulatih berpengalaman dalam sukan tersebut.
Demi membuktikan anak Malaysia mampu menembusi gelanggang dunia, beliau nekad melatih remaja ‘nakal’ tetapi berbakat di sekitar daerah Tambun, Perak untuk menjadi pahlawan Muay Thai.
Wartawan SHANIKA ABDULLATIB menemu bual beliau di Akademi Muay Thai, Tambun baru-baru ini.
Kosmo! Ahad: Anda dibesarkan dalam pelbagai jenis seni mempertahankan diri. Mengapakah anda memilih Muay Thai sebagai seni bela diri utama?
BERNAD: Seperti kebanyakan orang lain, saya juga mencari kepuasan dalam bidang ini. Muay Thai ada segala yang saya mahukan sejak dulu lagi.
Walaupun ramai yang memberi persepsi negatif terhadap Muay Thai, saya yakin melalui pengalaman sendiri yang telah menjangkau lebih 10 tahun, ia sama seperti seni bela diri lain yang wujud di dunia.
Muay Thai bagi saya lebih kepada pencarian diri sendiri manakala falsafah yang diterjemahkan melalui teknik khusus pada seni ini membuatkan saya lebih mengenali diri saya.
AKADEMI Muay Thai di Tambun, Perak, menjadi tempat Bernad (di tengah) mencurahkan kepakarannya.
Sebagai jurulatih yang turut mencipta nama di persada antarabangsa, apakah yang paling mencabar dalam sukan ini?
Secara peribadi, keadaan paling mencabar sebagai jurulatih adalah untuk mendisiplinkan seseorang dengan peraturan dan skil yang khusus.
Untuk pengetahuan, saya nekad mendirikan Akademi Muay Thai di daerah Tambun ini kerana sejak kecil saya cukup mengenali dan memahami masalah anak muda di sini.
Matlamat utama saya selain memberi impak positif pada remaja kampung adalah untuk melahirkan jaguh tempatan bertaraf antarabangsa.
Untuk itu, dengan sedikit ilmu yang saya ada, saya berusaha untuk membantu mereka yang ingin melakukan sesuatu tetapi tiada tempat yang ingin dituju.
Kebanyakan mereka mempunyai stamina dan tenaga yang meluap-luap. Disebabkan tiadanya tempat khusus, ramai antara mereka yang ‘melepaskannya’ dengan cara bergaduh, mencari masalah di sana sini dan sebagainya.
Dengan adanya latihan serta pengawasan daripada saya, mereka berjaya mengawal perasaan serta lebih matang dalam menghadapi situasi provokasi.
Justeru, selepas setahun pembukaan akademi ini, saya secara peribadi bangga kerana anak muda di daerah ini ramai yang telah berubah.
Dan situasi berkenaan membuatkan saya semakin percaya bahawa Muay Thai merupakan platform terbaik untuk mereka menemui sesuatu dalam diri mereka sendiri.
Apakah pandangan anda terhadap potensi Muay Thai di Malaysia, khususnya di kalangan remaja?
Terus terang saya katakan, sebenarnya ramai yang ingin mempelajari seni bela diri yang berasal dari Thailand ini, namun disebabkan kurangnya dana dan pendedahan yang betul, ia seakan ‘beku’.
Potensi anak tempatan kita memang mengagumkan malah ada antara mereka yang lebih bagus daripada peserta dari Thailand serta negara Barat.
Malah dengan penyertaan yang semakin kerap dalam pelbagai peringkat perlawanan, ramai peserta tempatan semakin ‘berani dan garang serta berkeyakinan’ menghadapi lawan.
Bukan sekadar itu, fight night atau perlawanan persahabatan antara ahli akademi berjaya mengumpulkan pelbagai lapisan pelatih bagi membantu mereka membina strategi serta keyakinan untuk menghadapi penentang.
Apakah perancangan masa depan anda?
Ada banyak perancangan. Namun, paling utama, saya dan rakan lain di seluruh dunia sedang berusaha untuk menjadikan seni bela diri ini sebagai acara utama dalam kalendar sukan antarabangsa.
Kami bercadang mewujudkan Olimpik seni mempertahankan diri.
Dalam masa yang sama, pencarian bakat juga dilakukan secara intensif melalui pertandingan persahabatan yang diadakan di setiap negeri dengan menjadikan Perak sebagai pusat utama.
Siku, lutut lebih tajam dari lelaki - Muay Thai wanita makin digeruni
Oleh SHANIKA ABDULLATIB
Kosmo 23/11/2008
CARA betul menggunakan anggota tubuh menjadikan muay Thai sesuai sebagai seni mempertahanan diri.
MUZIK beralun rancak bersama deruan angin serta hujan yang lebat membasahi bumi di luar jendela dengan sesekali guruh berdentum sayup-sayup.
Kegilaan hujan lebat di luar yang membawa angin dingin langsung tidak terasa dengan kepanasan di dalam arena di mata semua mata penonton melekat.
Ada kelainan malam ini yang membuatkan peminat seni mempertahankan diri muay thai atau tomoi terus melekat di dalam arena yang hanya boleh memuatkan sekitar 50 orang sahaja.
Masakan tidak, setelah sekian lama, malam ini, mereka berpeluang menyaksikan jaguh tomoi wanita berentap dalam perlawanan persahabatan anjuran Akademi Muay Thai Tambun, Perak.
Biarpun keadaan agak sempit dan padat dengan kehadiran penonton, Sara Amelia Bernad Radin terus menyusun strategi bagi menumpulkan serangan lawan yang tidak kurang hebatnya.
Pergerakan setangkas peserta lelaki malah ada kalanya, tujahan siku dan lutut yang tepat dan lebih tajam hingga sering saja membuatkan lawan merengkok menahan kesakitan.
"Ketajaman fikiran merupakan 'buah asas' dalam seni mempertahankan diri muay thai manakala pergerakan tubuh yang lain adalah pelengkap kepada kekuatan secara keseluruhan," ungkap gadis berusia 16 tahun usai perlawanan.
Lebih senang dengan panggilan Sara, keyakinan yang terpancar dari raut wajahnya menjelaskan kepuasannya alam bidang ini.
Menyentuh mengenai penglibatan golongan wanita dalam bidang, Sara mengakui terdapat sedikit salah faham kerana menganggapnya ganas.
"Mungkin cara mereka menterjemahkan seni ini dalam cara yang sukar diterima walaupun seni lain ada juga unsur ganasnya," ungkap gadis ini.
LATIHAN muay Thai antara peserta lelaki dan perempuan tidak banyak perbezaan ketara
Jelasnya lagi, ia terpulang bagaimana kita mengawalnya serta 'niat' mereka menceburinya seni ini dan baginya, setiap cabang seni mempertahankan diri ada keistimewaannya.
Ditanya mengapa muay thai yang rata-ratanya disertai lelaki menjadi pilihan, pantas saja Sara menjelaskan seni ini cukup 'straight forwad' dan tiada pengaruh gender.
Tegasnya, pergerakan yang praktikal malah kadang kala, cukup satu tumbukan yang tepat, pihak musuh dapat ditumbangkan dengan mudah menjadikan seni ini pilihan yang tepat bagi dirinya.
"Secara lahiriah, gadis memang lembut dan keadaan ini menyukarkan mereka mempertahankan diri. Namun sekiranya mereka tahu cara yang betul menggunakan siku atau lutut mereka, itu sudah memadai menjadi senjata bagi mempertahankan diri," jelasnya sambil menunjukkan beberapa pergerakan asas muay thai.
Menceritakan mengenai latihan, Sara memberitahu tiada bezanya antara lelaki dan perempuan kerana ia bersifat universal.
"Setiap pelatih perlu menguatkan setiap bahagian tubuhnya. Dan seperti yang kita sedia maklum, muay thai memang terkenal dengan kekuatan siku dan lututnya. Jadi, tanpa mengira jantina, latihan 'keras' terpaksa mereka harungi," jelasnya.
Menidakkan bahawa gadis yang menyertai muay thai akan hilang sifat femininnya, Sara menegaskan ia mampu meningkatkan disiplin diri serta tahap keyakinan diri.
"Saya akui perasaan takut merupakan musuh utama wanita dan peserta wanita di akademi ini membuktikan ketakutan itu hilang dan digantikan dengan jati diri yang ampuh," katanya yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Ipoh 1.
Perbualan terhenti seketika apabila terdengar sorakan semangat oleh penonton terhadap dua peninju yang sedang bertarung di dalam gelanggang.
"Tengok tu, tidak semestinya adanya latihan mencukupi, stamina yang kuat serta mempunyai persediaan mampu bertarung di dalam gelanggang. Kadang kala, yang cukup "persedian pun boleh tarik diri sebab takut," jelas anak sulung dari tiga beradik ini.
Cerita Sara lagi, sakit dan perit ketika berlatih serta bertarung merupakan resipi utama dalam menjadikan dirinya ampuh dalam mengharungi dunia muay thai.
Di samping itu juga, Sara menegaskan muay thai ini bukan sekadar kaedah melindung dan mempertahankan diri malah ia juga menitik beratkan 'self discovery,' atau pencarian diri.
"Saya lebih mengenali kekuatan dan kelemahan diri sendiri. Malah sekiranya perlu berlawan, saya mampu untuk menilai tahap bahaya yang ada dan kelebihan lawan. Dan ini membuatkan saya lebih selamat," jelasnya yang dihormati rakan sekolah.
Ujar gadis ini lagi, rakan-rakan di sekolahnya, terutama lelaki tidak 'berani' menganggu dia dan rakan-rakannya yang lain bukan kerana takut tetapi lebih kepada menghormati dirinya.
"Di sini pun, mereka tidak berani mengusik gadis-gadis yang lain kerana faham mengenai falsafah muay thai itu sendiri yang memerlukan kita menghormati diri sendiri dan orang lain," katanya.